KITA sering terpengaruh dengan angka kuasa sesebuah motosikal, tetapi ada juga yang beri perhatian kepada berat jentera. Sebenarnya, apa yang patut dipertimbangkan, bagaimanakah kuasa dan berat memainkan peranan kepada prestasi motosikal?
Prestasi dimaksudkan boleh dirangkumkan kepada tiga aspek utama: iaitu kepantasan memecut, kecepatan dan jarak membrek, dan ketangkasan ketika menukar arah.
BACA >>> #TahukahAnda: 5 Pelumba Motosikal yang Jadi Inspirasi Ramai Generasi Muda
Ini kerana setiap objek ada daya inersia. Dalam pemahaman mudah, daya inersia ialah rintangan bergerak apabila sesebuah objek berada dalam keadaan tidak bergerak; dan rintangan untuk diperlahankan dan ditukar arah apabila objek itu dalam keadaan bergerak.
Jadi, objek ringan memerlukan kuasa atau pengaruh luaran untuk bergerak, diperlahankan atau ditukarkan arah. Sebaliknya, objek berat memerlukan lebih kuasa untuk mempengaruhinya.
Baiklah, mari kita huraikan perbandingan antara kuasa enjin dan berat motosikal.
KUASA ENJIN VS BERAT
Istilah perbandingan ialah nisbah kuasa kepada berat motosikal (power-to-weight ratio). Dari sini kita boleh lihat berapa banyak berat harus ditanggung enjin. Kita ambil contoh motosikal 1,200cc berkuasa 200hp dan berat 180kg.
Di sini, nisbah kuasa kepada berat asal ialah:
180kg/200hp = 0.9kg/1hp (setiap 1hp menanggung 0.9kg)
Jumlah berat lebih kecil bermaksud enjin menanggung berat yang kurang, dan ini memberikan prestasi lebih baik. Ada dua metod meningkatkan prestasi motosikal, iaitu antara menambah kuasa enjin dan meringankan berat motosikal.
BACA >>> Honda RC 213V-S Pertama Dijual di eBay - RM1.17 Juta dalam Kondisi Serba Baharu
1. Metod Tambah Kuasa Enjin
Apa kata kita pilih pendekatan modifikasi untuk menambah kuasa enjin. Katakanlah kita dapat tambahan 10hp selepas menukar sistem ekzos dan menala semula unit kawalan elektronik (ECU)?
180kg/210hp = 0.86kg/1hp
2. Metod Ringankan Motosikal
Bagi pendekatan ini, kita boleh tukar sesetengah komponen kepada lebih ringan seperti braket peg kaki. Kita juga tanggalkan peg kaki dan cabut pelana pembonceng. Ada lagi, kita tanggalkan pula 'ekor' belakang. Apa diperlukan dengan cara ini adalah tidak boleh 'usik' enjin dan ECU.
Selepas menimbang berat, kita dapati motosikal kita lebih ringan 10kg. Jadi, nisbah kuasa kepada berat baharu ialah:
170kg/200hp = 0.85kg/1hp (LEBIH KUASA!)
PENUTUP
Ringkasannya, kita mendapat nisbah lebih baik (0.85kg berbanding 0.86kg) dengan hanya menanggalkan bahagian tidak perlu dan menukar satu dua komponen lebih ringan. Ya, kita tidak perlu pun melabur banyak wang untuk menukar sistem ekzos, apatah lagi mengusik ECU, dan menukar injektor bahan api, piston, aci sesondol (camshaft) dan sebagainya.
Malah, motosikal kita lebih cepat pikap, prestasi membrek lebih baik dan pengendalian lebih tangkas selepas diringankan. Ingat, penambahan kuasa enjin tidak semestinya membuatkan motosikal kita mampu beraksi seperti sebuah jentera yang ringan, terutama dalam aspek pembrekan dan ketangkasan.
Metod pengurangan berat boleh dianggap sebagai 'tambahan kuasa enjin percuma' (free horsepower). Ini juga antara sebab kenapa banyak pasukan lumba bersaing menghasilkan material ringan untuk komponen jentera mereka.
Namun, kami ingin mengingatkan supaya jangan sesekali menanggalkan apa-apa komponen wajib ada seperti brek belakang, cermin sisi, lampu dan sebagainya yang menyalahi undang-undang dan mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain. Artikel ini ditulis untuk pengetahuan umum.
BACA >>> 4 Tip Ubah Suai Motosikal Cara STP - 'Standard Tapi Perform'?
Leave a Reply