MOTOGP ialah Kejohanan Dunia Grand Prix (GP) perlumbaan motosikal perdana yang terdiri daripada 18 siri perlumbaan dan berlangsung dalam litar khas di lebih 12 negara pelbagai benua serta mendapat liputan media seluruh dunia. Perlumbaan motosikal paling berprestij ini disertai barisan pelumba paling berkemahiran dunia daripada pelbagai kewarganegaraan yang menunggang jentera buatan nama-nama besar dalam arena permotoran antarabangsa seperti Aprilia, Ducati, Honda, Suzuki dan Yamaha.
MotoGP ditubuhkan sebagai Kejohanan Dunia oleh Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) pada 1949 dan juga merupakan kejohanan permotoran tertua di dunia membabitkan tiga kelas perlumbaan yang berentap dalam litar khas pada hujung minggu. Kejohanan terdahulu digelarkan sebagai 500cc sebelum diubah kepada peraturan teknikal baharu pada 2002 dengan menampilkan jentera 4-lejang dan kapasiti enjin ditingkatkan kepada 990cc, dan akhirnya dikenali sebagai MotoGP.
PINDAAN PERATURAN
Bermula 2007, peraturan perlumbaan dipinda lagi dengan mengehadkan kapasiti enjin kepada 800cc, dan sekali lagi pada 2012 apabila sesaran enjin maksimum ditetapkan kepada 1,000cc. MotoGP ditadbir oleh pemilik hak komersil, Dorna Sports di bawah pemantauan FIM sejak 1992.
Sepanjang berlangsung sejak 1949, MotoGP sememangnya menyimpan pelbagai sejarah dengan Itali, Britain, Sepanyol, Amerika Syarikat dan Australia menjadi antara negara paling banyak melahirkan bakat pelumba dunia yang mencatatkan kejayaan perlumbaan dan gelaran juara tertinggi.
Selain kelas perdana yang disebut sebagai MotoGP, ada dua kategori enjin berkapasiti kecil yang dipertandingkan dalam MotoGP , iaitu Kejohanan Dunia Moto3 (terdahulu dikenali 125cc) dan Moto2 (250cc) yang juga ada perlumbaan sendiri pada setiap GP. Ini bermakna, ada tiga juara daripada tiga kategori berbeza akan dinobatkan bagi setiap musim.
HUJUNG MINGGU PERLUMBAAN
Pada hujung minggu GP, ketiga-tiga kategori MotoGP dipertandingkan bersama:
1. Moto3
Kelas 4-lejang, 250cc, silinder-tunggal menggantikan kategori GP 125cc pada 2012. Umur maksimum pelumba ialah 28 tahun (25 tahun bagi pelumba wild-card atau pertama kali bertanding), manakala usia minimum 16 tahun, kecuali jika pelumba itu juara Kejohanan Dunia Junior FIM CEV Repsol Moto3.
2. Moto2
Kelas Moto2 menggantikan kategori 250cc sejak 2010. Honda ialah satu-satunya pembekal enjin, manakala Dunlop menyediakan tayar. Motosikal yang dipertandingkan dikuasakan enjin 600cc, 4-lejang dan berkuasa kira-kira 140hp. Namun, rekabentuk dan pembinaan casis ialah bebas mengikut sekatan peraturan teknikal FIM GP.
Kerangka utama, lengan ayun (swingarm), tangki minyak, tempat duduk, dan fairing/kerja badan daripada motosikal non-prototaip (contohnya, siri pengeluaran berasaskan standard atas jalan raya umum) mungkin tidak digunakan. Umur minimum pelumba, 16 tahun.
3. MotoGP
Ujian muktamad atau perlumbaan paling tinggi bagi barisan pelumba motosikal paling berbakat dunia dengan kapasiti enjin maksimum, 1,000cc, 4-lejang dan umur minimum pelumba, 18 tahun. Dalam acara tertentu, beberapa imbuhan tambahan diberikan seperti Piala Rookies MotoGP Red Bull dan Piala Bakat Asia Shell Advance Asia, iaitu inisiatif khas yang bertujuan mencari bintang MotoGP masa depan dari seluruh dunia.
Acara MotoGP mengambil masa tiga hari dengan dua hari pertama membabitkan sesi latihan dan kelayakan bagi setiap kelas, manakala hari ketiga ialah hari perlumbaan.
KELAYAKAN MOTOGP
Seperti tahun-tahun sebelum ini, ada tiga sesi Latihan Bebas selama 45 minit, di mana perlumbaan kebiasaannya berlangsung pagi dan tengah hari Jumaat, serta pagi Sabtu. Catatan masa dalam sesi tersebut (Latihan Bebas) akan dikira untuk pusingan Kelayakan dengan gabungan keputusan akan menentukan sama ada seseorang pelumba itu layak menyertai Q1 atau Q2.
Q1 terdiri daripada pelumba dengan catatan masa terbaik ke-11 dan ke bawah yang akan mengharungi sesi perlumbaan 15 minit. Sepanjang tempoh itu, pelumba akan mendapat insentif untuk layak ke pusingan Q2, di mana dua pelumba terpantas Q1 layak bertanding.
Sesi 15 minit pusingan Q2 inilah yang akan menentukan posisi grid 12 pelumba pada hari perlumbaan final nanti. Pelumba selain dua terpantas Q1 akan mengambil posisi grid 13 dan ke bawah berdasarkan kedudukan dalam Q1.
PERUBAHAN TIDAK DIJANGKA
Sebagai memenuhi sebarang perubahan tidak dijangka atau pelarasan diperlukan, Latihan Bebas 4 (FP4) berlangsung dalam masa 30 minit yang diadakan sebelum dua sesi Kelayakan (Q1 dan Q2). Bagaimanapun, catatan masa FP4 tidak akan dikira sebagai masa Kelayakan. Ini bermakna:
- Tiga sesi Latihan Bebas sedia ada tidak akan berubah, tetapi gabungan masa daripada sesi itu akan menentukan penyertaan pelumba dalam final latihan kelayakan.
- 10 pelumba terpantas akan dipilih berlumba dalam Kelayakan 2 (Q2).
- Semua pelumba lain akan mengambil bahagian dalam Kelayakan 1 (Q1).
- 2 pelumba terpantas Q1 akan berlumba dalam Q2, menjadikan total pelumba ialah 12 orang yang mewakili 12 grid pertama.
- Pelumba selain 2 terpantas Q1 akan mengambil posisi grid ke-13 dan ke bawah berdasarkan catatan masa masing-masing dalam Q1.
Selepas sesi pemanasan setiap kategori pada hari perlumbaan, secara tradisi kategori paling kecil, iaitu Moto3 terlebih dahulu memulakan perlumbaan sebelum disusuli kelas Moto2 dan MotoGP. Bagaimanapun, ia masih menjadi subjek yang boleh diubah.
Panjang litar berbeza mengikut negara penganjur antara 95-130km, di mana perlumbaan biasanya berakhir antara 40-45 minit. Tidak seperti Formula Satu (F1), hentian-pit (pit-stop) dalam MotoGP sangat jarang digunakan walaupun dibenarkan. Fungsi hentian-pit hanya betul-betul berguna jika cuaca berubah, di mana pelumba masuk ke laluan pit untuk menukar jentera yang dipadankan dengan spesifikasi tayar tertentu (khas MotoGP sahaja).
SUMBER: MotoGP.com
Nornizam says
Teringin sangat nak jadi perlumba motor gp , kalau ada peluang , aku rebut peluang ni .
Mohdshahrizan says
Hai nama saya mohd shahrizan
Ingin menjadi penlumber motorgp umur saya 21 thn ingin kn sangt menjadi motorgp
Ahmad says
Ya elok Sgt kalau bagi .jadi jockey...100cc pun jadi la
Mohamad arif bin mohd noor helmi says
HAI SAYA MOHAMD ARIF cita² saya ingin menjadi pelumbe motogp dri kecil lgi umur ku 15 thun ku mengidola kn hafiz syahrin ,ku x tahu utk msuk bidang perlumbaan harap dengn mesej ini aku boleh😌😌