TANPA rasa ragu saya katakan, Isuzu D-Max V-Cross yang dipandu uji kali ini adalah sebuah trak pikap yang versatil dan berkuasa. Berbanding model sedia ada, ia tampak lebih matang dan menepati segala citarasa diinginkan peminat 4x4 yang dilihat melangkaui ideologi ke satu tahap lebih jauh. Itulah pandangan saya sebaik saja memegang stereng dan memandu dalam satu sesi pandu uji khas bersama rakan media lain ke Pulau Pinang.
Sebelum mengulas lebih lanjut, adalah lebih baik saya menceritakan serba sedikit berkenaan Isuzu D-Max. D-Max generasi pertama mula diperkenalkan pada 2002 dan selepas 11 tahun (tahun lalu), para jurutera Isuzu telah melakukan transformasi dengan memberi perhatian pada pakej keseluruhan seperti keselesaan, keselamatan dan prestasi ke tahap lebih tinggi.
Empat varian baharu diperkenalkan dalam barisan keluarga D-Max. Antara empat varian lain ditawarkan ialah: 4x2 2.5L, 4x2 2.5L Variable Geometry System (VGS) dan dua varian 4x4 2.5L VGS diesel turbo. Kesemuanya hanya dibezakan dengan sistem pacuan roda, transimisi, aksesori dan beberapa aspek keselamatan tambahan.
Memahami kehendak pengguna yang mahukan trak lebih berkuasa dan menawan, Isuzu Malaysia sekali lagi membawa masuk dua ahli keluarga baharu yang dikenali D-Max V-Cross dan Safari (versi premium) bagi merancakkan lagi segmen trak pikap.
Pengenalan dua model tambahan ini pasti menggembirakan peminat kenderaan 4x4 terutamanya bagi mereka yang mahukan trak lebih berkuasa dan berpewatakkan menawan.
LUARAN- Lebih Mengancam
Pandangan saya, trak pikap kini tidak lagi hadir dengan imej lapuk, malah dilengkapi pelbagai pakej menarik dan teknologi terkini. Isuzu D-Max V-Cross adalah antara contoh terbaik. Jika mahukan lebih hebat, pilih saja varian V-Cross Safari. Perbezaannya, V-Cross Safari memiliki penampilan berbeza dengan tambahan beberapa aksesori tambahan.
Antaranya, pelindung bampar dan pemijak kaki berwarna kelabu, gril radiator baharu, rim disaluti cat kelabu gelap, spoiler, V-LID, roof rail dan pengenalan warna baharu - Venetian Orange Mica,
Dalam bahasa mudah, pikap ini tampak menawan dan mengancam. Macam orang bujang macam saya, tak rasa kekok untuk ‘melaram’ dengan pikap ini untuk ‘tackle’ awek. Maklumlah, awek mana yang tidak mahukan lelaki yang lagaknya seperti kontraktor kelas A.
DALAMAN - Kemas Dan Kontemporari
Selain penampilan luar kemas dan kontemporari, ruang kokpit juga lebih ergonomik. Antara perubahan paling besar dilakukan adalah dimensi dalaman lebih luas dan kehadiran kawalan suhu automatik. Ia juga menampilkan inovasi penting yang memberikan pemandu perasaan seperti berada dalam sebuah SUV.
Si pemandu dengan mudah sahaja boleh memilih mod pemanduan tanpa perlu mengalihkan pandangan daripada jalan raya, posisi mod pacuan empat roda yang sebelum ini diletakkan pada fascia papan pemuka ditukar dan diletakkan lebih hampir dengan pemandu dan tuil gear.
Bagi varian Safari, anda boleh menikmati keselesaan menerusi kehadiran kerusi kulit Itali yang dijahitkan dengan benang berwarna oren bersama sulaman logo V-Cross Safari. Selain itu, ia juga dilengkapi audio skrin sesentuh multimedia bersama navigasi dan kamera undur.
EKONOMIKAL - Paling Jimat
D-Max trak pikap versatil! Itu gelaran diberi. Walaupun berstatus trak pikap, tanpa ragu-ragu saya berani katakan pikap 'bagak' ini tampil dengan pendirian berbeza berbanding segmen sekelasnya. Lebih utama dan sedia maklum, Isuzu adalah satu-satunya pengeluar yang berjaya menawarkan penggunaan bahan api paling ekonomikal.
Buktinya, D-Max terdahulu pernah menjalani ujian khas oleh Isuzu dan hasilnya ia mampu bergerak dari Bangkok, Thailand ke Melaka dengan hanya satu isian tangki penuh pada 2011. Betul bro, dari Bangkok ke Melaka. Memang ada suara sumbang untuk mengakui keupayaannya tetapi itulah hakikatnya.
Begitu juga dengan ujian yang pernah saya lakukan terhadap varian 2,5L sebelum ini. Dengan isian tangki penuh (76L), pikap ini mampu bergerak sekitar 1,010km. Bagi saya, catatan yang berjaya dibuat memang luar biasa bagi sebuah trak pikap.
Walau bagaimana, saya tidak dapat melakukan ujian terhadap model pandu uji kali ini memandangkan ia hanya melibatkan perjalanan sekitar 300km.
PRESTASI - Lebih Kuasa
Isuzu D-Max V-Cross dijana enjin baru 3.0L Super Commonrail dengan VGS. Hadir dengan pilihan kotak gear 5-kelajuan manual atau automatik, ia menawarkan kuasa sehingga 175hp@3,600rpm dan tork pada takat 380Nm(1,800 hingga 2,800rpm).
Enjin baru itu bukan saja mampu memberikan maklum balas pendikit dan prestasi lebih baik, malah mengimbangi dengan mengurangkan emisi ekzos.
Sepanjang pemanduan, saya dapat rasakan deruman enjin lebih senyap berbanding model terdahulu terutamanya apabila duduk di dalam kabin.
Sistem suspensi juga ditala dengan tepat dan sederhana. Saya sengaja melalui meredah laluan berlubang, berlopak dan off-road. Ternyata hentakan itu tidak begitu terasa sebaliknya ia selesa dan tidak memeningkan penumpang di dalam.
KESIMPULAN
Secara keseluruhannya, saya berpendapat D-Max adalah sebuah trak pikap versatil dan lincah mengatasi setiap cabaran dilalui. Ia bukan saja mampu meredah pelbagai laluan lasak dan mencabar malah bersesuaian untuk kegunaan harian.
Bagi mereka yang menginginkan sebuah trak yang mudah dipandu, selesa dan tidak melupakan aspek kecekapan bahan api, Isuzu D-Max V-Cross mungkin boleh disenaraikan dalam pilihan anda.
SPESIFIKASI
ENJIN 3.0L Super Commonrail bersama sistem Turbo VGS
TRANSMISI Manual/Automatik 5-kelajuan
KUASA MAKSIMUM 175hp@3,600rpm
TORK MAKSIMUM 380Nm@1,800-2,800rpm
KAPASITI TANGKI 76L
CIRI 5-Bintang EURO NCAP, TCS, ESC, ABS, ISOFIX, EBD dan BA.
HARGA RM101,343.60 (manual), RM107,459.90 (Auto), RM118,485.90 (Safari)
Leave a Reply