HYUNDAI Sime Darby Motors (HSDM) baru saja memperkenalkan hot-hatch paling berkuasa jenama itu, i30 N untuk jualan pasaran Malaysia menerusi pratempahan serendah RM2,000 sempena Jualan Mega Hujung Tahun 12.12.
Harga penuh model ini di Malaysia ialah RM298,000. Ini bermakna bukan calang-calang orang mampu memiliki hatchback berkuasa ini. Jom kita reviu sekejap tentang spesifikasi i30 N edisi Malaysia ini.
BACA >>> Hyundai i30 N Kini di Malaysia, Tempahan Serendah RM1k di Lazada, 20 Unit Sahaja!
LAWAN GOLF GTI, MEGANE RS DAN CIVIC TYPE R
i30 N adalah pesaing kepada Volkswagen Golf GTi, Renault Megane R.S dan Honda Civic Type R. Model ini dijana enjin 2.0L T-GDI Turbo berkuasa 273hp dan tork 353Nm dengan transmisi manual 6-kelajuan.
Tahap pemanduan sporty boleh disesuaikan dengan lima mod pemanduan: Eco, Normal, Sport, N dan N Custom. Sistem Kawalan N Grin akan menukar mod pemanduan dan melaraskan parameter enjin, damper dan mengaktifkan Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC), Diferensial Gelincir Terhad Elektronik (E-LSD), bunyi ekzos, stereng dan padanan rev aka rev matching.
Sebagai tambahan, pemandu boleh memilih punat rev matching pada stereng untuk meningkatkan putaran enjin ketika menukar gear tinggi ke rendah, manakala ciri Kawalan Luncur (Launch Control) membantu melancarkan pergerakan kenderaan ketika memecut awal dari posisi pegun menerusi kawalan tork enjin.
Jika ciri rev matching melancarkan tukaran gear, fungsi overboost pula meningkatkan tork sebanyak 8 peratus dan pecutan (6-7 peratus).
SENTUHAN BADAN DIVISYEN N
Hatchback 5-pintu ini dipadankan rim 19-inci yang dibalut tayar Pirelli yang tertera logo N dengan jarak lega tanah rendah 8mm. Sentuhan imej perlumbaan dapat dilihat menerusi padanan warna merah pada kaliper brek dan gril depan silang berserta warna badan biru lembut, dinamakan Performance Blue.
Ilham luaran i30 N diambil daripada Hyundai Motorsports WRC dan TCR. Imej sporty dapat dilihat pada penampilan lampu depan dengan bilah hitam. Lampu siang (DRL) LED horizontal yang diletakkan pada ventilator udara di penjuru bampar depan berfungsi meningkatkan penyejukan brek dan menambah baik aerodinamik jentera.
Sentuhan spliter depan dan spoiler sayap belakang pula dibangunkan bagi meningkatkan daya mendap (downforce) dan keseimbangan aerodinamik. Lampu brek belakang bentuk segitiga memberikan pandangan unik yang dipadankan spoiler hitam berkilat dan dwi-ekzos.
KABIN SPORTY
Sebagai kereta yang menumpukan kepada pengalaman pemanduan sporty, semestinya susun atur sistem kawalan kabin direka untuk memudahkan capaian tangan pemandu. Punat kiri stereng (warna biru muda) tersedia tiga mod pemanduan, Normal, Sport dan Eco, manakala punat kanan stereng tersedia mod N dengan simbol bendera perlumbaan untuk tetapan kustom skrin navigasi.
Tombol gear jenis bulat dan stereng diwarnakan biru dengan lencana N. Kluster instrumen elektronik direka untuk memudahkan pandangan pemandu dengan bahagian atas memaparkan indikator posisi gear.
Iluminasi LED pada panel meter akan berubah mengikut prestasi pemanduan dan suhu minyak enjin. Skrin infotainment jenis apung 8 inci memaparkan mod seperti meter G-force. Bahagian kerusi menawarkan ciri sokongan lumbar dengan lencana N tertera pada penyandar belakang, juga ada kusyen tambahan untuk ekstra kestabilan dan keselesaan.
CIRI BREK KECEMASAN AUTONOMI
i30 N didatangkan dengan ciri keselamatan Brek Kecemasan Autonomi (AEB) terkini yang berfungsi dalam tiga tahap melalui sensor kamera. Tahap Pertama, pemandu akan menerima amaran visual dan audio. Kedua, sistem akan mengawal brek mengikut situasi bahaya perlanggaran; dan Ketiga, sistem akan membrek keras untuk mengelak perlanggaran atau meminimumkan kerosakan.
Selain itu, i30 N juga disediakan Amaran Perhatian Pemandu (DAA), Sistem Bantuan Kekal Lorong (LKAS) dan sistem Bantuan Suluh Tinggi (HBA).
Berminat mahu tempah i30N? Baca SINI.
Leave a Reply