NAMA Subaru memang tidak asing di kalangan peminat sukan permotoran dan model paling diingati sudah tentu legenda Impreza yang meraih banyak kejuaraan dalam pelbagai siri rali dunia. Impak dibawa Impreza cukup gah hingga membuatkan peminat automobil negara ini meletakkan jenama Subaru sebaris dengan jenama premium lain dalam kategori kereta prestasi tinggi.
Namun, isu seperti kos penyenggaraan dan harga beli tinggi sering menghantui pembeli dan peminat baru jenama itu. Walhal harga model Subaru selain Impreza sebenarnya agak munasabah jika anda tahu menghargai kualiti kejuruteraan yang ditawarkan produk buatan Jepun tersebut.
Subaru XV adalah model crossover yang dibina atas platform kereta dengan menggabungkan ciri kenderaan utiliti sukan (SUV), termasuk memuatkan elemen daripada kenderaan penumpang seperti hatchback dan station wagon. Ramai yang menyenaraikan jentera ini dalam kategori SUV.
LUARAN: Maskulin dan Ranggi
Besar, tegap dan padat adalah tiga kata awal untuk menggambarkan karakter XV. Sudut dan elemen maskular dapat dilihat di setiap sosok badan kereta. Karakter maskulin paling menonjol terserlah dari pandangan belakang. Lihat saja rekaan bampar belakang yang ‘terkeluar’, lampu heksagon kompak dan garis pinggir (edge) tajam yang melintang sepanjang but dan penjuru bampar, termasuk penampilan difuser yang diapit set reflektor dalam perumah bampar tanpa cat.
Walaupun pandangan depan agak lembut menerusi rekaan lampu utama tirus, tetapi rupa ‘kasar’ XV mudah dikesan pada bampar dan gril jejaring silang (crosshatch), manakala di tengah gril terpampang logo Subaru bertatah sayap krom yang menyilaukan mata.
Sisi XV paling menonjol adalah set rim rekaan futuristik berupa lima kluster bersaiz 17 inci. Walaupun tidak suka dengan rekaan hip sebegitu, tetapi saya perlu akur dengan trend rekabentuk rim cita rasa global. Lihat saja tema rim yang menghiasi model Kia, Hyundai dan Honda, termasuk Proton juga. Rata-ratanya menekankan motif rekaan yang sama.
Melengkapkan ciri crossover, nun di atas bumbung tersergam sepasang rel bumbung buat menampung barangan bersaiz gergasi milik si pemandu seisi keluarga seperti bagasi besar, basikal atau kayak untuk dibawa pulang ke kampung atau pergi bercuti.
DALAMAN: Serba Minimalis
Ruang kabin nampak ‘kosong’ dan seakan tidak kena dengan harga premium ditawarkan. Kualiti material dan persembahan diberikan cuma berada pada tahap sebuah kenderaan pikap di bawah harga RM100,000. Tetapan penyaman udara masih menggunakan butang pulas.
Bancuhan warna pada papan pemuka dan upholsteri seperti tiada semangat dan paling menyeksakan adalah kualiti material plastik yang dapat dilihat di mana-mana bahagian kabin. Cuma yang menjadi penyelamat adalah butang kawalan audio di stereng dan sistem multimedia skrin sentuh. Itu saja.
PRESTASI: Boxer yang Menggiurkan
Namun situasi hambar dalam kabin tidak sama ketika anda menghidupkan enjin dan memandu jentera ini. XV menggunakan trenkuasa (powertrain) dengan transmisi XV serba baharu berkapasiti 2.0L dan masih mengekalkan enjin Boxer yang menjadi ’trademark’ Subaru, dipanggil Horizontally-Opposed. Keistimewaan enjin Boxer adalah piston dalam silinder yang bergerak secara melintang dan reka letak enjin membolehkan ia diletakkan sebaris dengan trenpacu (drivetrain) untuk mendapatkan pindahan kuasa maksimum.
Rekaan enjin flat juga menambahkan ekstra ruang bonet selain menyerlahkan ciri profil rendah XV, sekali gus memberikan tahap pusat graviti (CG) terbaik yang memudahkan respon pengendalian dan keyakinan tinggi ketika membelok. Kuasa dan tork pada catatan 148hp dan 196Nm dibaca biasa sahaja.
Namun, asas enjin baharu Subaru dengan lejang panjang direka untuk meningkatkan kecekapan mekanikal enjin. Komponen ringan digunakan bukan saja mampu melonjakkan respon enjin, tetapi turut menyumbang kepada penjimatan bahan api.
Di atas jalan, kuasa maksimum XV dapat dirasai pada putaran enjin 6,200rpm, manakala tork pada 4,200rpm. Henjutan awal cukup lincah dengan transmisi 6-kelajuan beroperasi lancar dan mengujakan. Trenpacuan Symmetrical AWD (pacuan semua roda) dipadukan dengan baik pada enjin Boxer dan menghasilkan daya traksi hebat, termasuk keseimbangan serta kestabilan ketika mengharungi sebarang situasi permukaan jalan.
Pandu uji melayan selekoh demi selekoh sepanjang laluan Bukit Fraser benar-benar menguji kemantapan XV. Termasuk jelajah jauh nun ke negeri paling utara, Perlis. Walaupun beberapa kali indikator Sistem Kawalan Dinamik Kenderaan (VDCS) menyala akibat situasi belokan lebih (oversteer), tetapi pengendalian kenderaan kekal meyakinkan dan selamat.
Di lokasi tertentu, sedikit rev enjin diperlukan untuk mengatasi daya tork yang merosot dan serentak membantu melonjakkan jasad kereta mendaki laluan bercerun. Ketegapan casis dibantu ciri keselamatan termaju menerusi stuktur badan serap tenaga yang diperkuat dan keluli tegangan tinggi di bahagian kritikal bagi mengelak impak perlanggaran. Ini termasuk ciri standard keselamatan seperti beg udara dan pautan ISOFIX untuk kerusi kanak-kanak.
Rekabentuk bonet XV mampu meminimumkan kecederaan ke atas pejalan kaki, manakala struktur enjin direka supaya jatuh apabila berlaku kemalangan bagi mengurangkan impak tekanan ke atas pemandu dan penumpang.
KESIMPULAN
Dari segi prestasi, saya boleh letakkan XV dalam senarai antara SUV subkompak terbaik. Malah, jauh dalam hati saya ada memasang niat mahu memiliki jentera ini. Niat yang satu itu tidak lain berpunca daripada prestasi enjin, kawalan stereng, sistem brek dan suspensi terbaik dibekalkan Subaru terhadap XV.
XV adalah SUV maskular sejati. Enjin Boxer adalah kekuatan utama XV yang mampu memberikan nilai untuk wang (value for money) kepada pemiliknya. Itupun jika anda tidak membandingkan SUV ini dengan model pengeluar lain yang menawarkan aneka ciri moden mewah, menarik dan pelik. - Gan Yong Li
SPESIFIKASI
ENJIN 2.0L DOHC 16V, Horizontally-Opposed, 4 Silinder AWD
TRANSMISI Automatik 6-Kelajuan Lineartronic CVT
KUASA MAKSIMUM 148hp@6,200rpm
TORK MAKSIMUM 196Nm@4,200rpm
CIRI Sistem Kawalan Dinamik Kenderaan (VDCS), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Agihan Brek Elektronik (EBD), 4 beg udara, enjin ‘Break Away’
HARGA RM151,226.50 (termasuk insurans)
Leave a Reply