UNDANG-undang keselamatan jalan raya di Eropah memang ketat hingga menjadi rujukan dan standard dunia. Pada 2022, satu lagi peraturan baharu bakal dikuatkuasakan yang mana semua kereta di Kesatuan Eropah (EU) wajib dilengkapi sistem amaran keletihan (fatigue alert system).
Undang-undang itu diluluskan pada awal tahun ini dan penting dalam memelihara keselamatan pengguna jalan raya dan orang ramai. Sejak 2015, ada 4,000 kes kemalangan dan 150 kematian di Britain akibat pemandu keletihan. Walaupun tarikh penguatkuasaan berbaki dua tahun lagi, DS Automobiles (subsidiari PSA Groupe) sudah membangunkan teknologi khas dipanggil Pemantau Perhatian Pemandu DS (DS Driver Attention Monitoring).
Teknologi itu membantu pemandu sentiasa berwaspada dan mengelak tertidur ketika memandu dengan mengesan sebarang tanda-tanda kepenatan. Ia sebenarnya sudah pun ditawarkan pada model DS 7 Crossback di Britain melalui sepasang unit kamera inframerah yang ditumpukan kepada pemandu dengan mengawasi kedudukan kenderaan secara berterusan.
BACA >>> #TahukahAnda: 6 Fakta Tentang Mengantuk Ketika Memandu yang Perlu Anda Tahu
BAGAIMANAKAH DS DRIVER ATTENTION MONITORING BERFUNGSI?
- Dua kamera dipasang menghadap pemandu, satu atas stereng dan satu lagi atas cermin depan.
- Sistem akan mengawasi tiga tanda utama situasi mengantuk atau hilang tumpuan: pergerakan mata, kelopak mata atau leher.
- Jika satu tanda tersebut dikesan, satu amaran audio dibunyikan dan notis amaran muncul pada paparan instrumentasi digital.
- Pada masa sama, sistem pengawasan kedudukan kenderaan akan sentiasa mengesan pergerakan kereta berdasarkan tanda jalan (road markings) dan memberi peringatan kepada pemandu dengan audio amaran jika terdapat pergerakan stereng secara tiba-tiba atau mengejut.
Gabungan sistem seperti di atas berfungsi sebagai alat bantuan supaya pemandu kembali sedar dan mempunyai kesempatan membetulkan keadaan. Teknologi seumpama itu adalah sebahagian sistem bantuan pemanduan yang semakin banyak digunakan pada kereta moden masa kini.
Selain teknologi itu, sesetengah kenderaan sudah sedia dilengkapi ciri Bantuan Kekal Lorong (LKA) yang berfungsi mengelak kereta tersasar ke laluan sebelah. Ada juga teknologi yang mampu mengaktifkan brek secara automatik walaupun dalam halaju tinggi.
Dalam usaha menjadikan teknologi seumpama itu dapat dinikmati ramai pengguna, Kerajaan perlu memainkan peranan utama menerusi penguatkuasaan undang-undang seperti dilakukan negara-negara dalam EU. Ini secara langsung mampu menurunkan kadar kemalangan.
BACA >>> Nissan Kicks (2019), Model Termurah Menang Anugerah Interior Terbaik WardsAuto 2019
Leave a Reply