MINI Malaysia menambah ahli keluarga baharu menerusi pengenalan MINI Clubman baharu dengan menjanjikan pemanduan menyeronokkan, karisma premium dan versatil.
Ditawarkan dalam dua varian iaitu MINI Cooper Clubman dan MINI Cooper S Clubman, masing-masing dijual pada harga RM203,888 dan RM253,888.
HARGA (Atas jalan tidak termasuk insurans)
- MINI Cooper Clubman - RM 203,888.00
- MINI Cooper S Clubman - RM253,888.00
8 WARNA MENARIK
- Perak (Melting Silver)
- Merah (Pure Burgundy)
- Putih (Pepper White)
- Hitam (Midnight Black)
- Kelabu (Moonwalk Grey)
- Biru (Deep Blue)
- Hijau (British Racing Green)
- Kelabu (Thunder Grey) - Bagi varian MINI Cooper S Clubman
PRESTASI
MINI Cooper Clubman hadir bersama enjin 3-silinder sebaris bersesaran 1.5L yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 136hp dan tork 220Nm.
Pecutan sifar hingga 100kmj mampu dibuat sepantas 9.1 saat dengan kelajuan maksimum 205kmj. Penggunaan purata bahan api cuma 5.4L bagi setiap 100km.
Varian MINI Cooper S Clubman pula dipadankan dengan enjin MINI TwinPower Turbo 4-silinder bersesaran 2.0L.
Hasil bantuan transmisi Steptronic 8-kelajuan, model ini mampu menghamburkan kuasa sebanyak 192hp dan tork puncak 280Nm. Pecutan 0 hingga 100kmj dapat dibuat dalam masa 7.1 saat dengan kelajuan maksimum 228kmj, manakala penggunaan bahan api hanya 5.9L bagi setiap 100km.
LUARAN
Untuk makluman, MINI Clubman baharu adalah satu-satunya kenderaan enam pintu dalam segmennya dan hadir bersama rekaan signatur - pintu belakang terpisah dikekalkan.
Karakter matang MINI Clubman baharu diserlahkan menerusi dimensi lebih besar berbanding model terdahulu. Dengan rekaan lebih sofistikated, MINI Clubman baharu kini bersaiz panjang 4,253mm, lebar 1,800mm dan tinggi 1,441mm.
Satu lagi ciri utama MINI Clubman baharu ialah pancaran lampu logo MINI ke jalan. Lampu itu akan menyala selama 20 saat setiap kali pemandu membuka atau mengunci kereta. Menarik?
Model ini juga dilengkapi lampu utama dan lampu kabus LED. Dari segi pilihan rim pula, varian MINI Cooper dipasangkan rim aloi ringan Net Spoke berwarna perak bersaiz 17-inci manakala varian MINI Cooper S tampil dengan rim aloi ringan Star Spoke berwarna hitam bersaiz 18-inci. Kedua-dua varian didatangkan dengan tayar jenis run-flat.
DALAMAN
Ruang dalaman hadir bersama satu panel instrumen dan bingkai fascia kokpit yang besar. Antara ciri-ciri baharu lain termasuklah brek parkir elektrik, sistem pendingin hawa dua zon dan cermin pandang belakang anti silau automatik.
Bukan itu sahaja, MINI Cooper S Clubman baharu dipasang dengan tempat duduk boleh laras secara elektrik bersama fungsi memori.
JAMINAN
MINI Clubman baharu hadir bersama jaminan empat tahun tanpa had perbatuan. Selain itu, servis berjadual percuma turut diberikan selari dengan sistem Servis Berasaskan Kondisi (Condition Based Service).
Berminat nak beli? Kunjungi saja bilik pameran MINI berdekatan anda.
Leave a Reply