SEDEKAD selepas mengejutkan pasaran segmen crossover subkompak dengan rekabentuk serba funki, Nissan Juke kini kembali dalam wajah serba baharu yang jauh meninggalkan model terdahulu dari segenap aspek.
Nissan Juke (2020) generasi kedua dibina berasaskan legasi kejayaan model generasi pertama dengan menerapkan rekabentuk revolusionari yang mengekalkan rupa funki. Model terbaharu ini juga menawarkan ruang kabin lebih luas menerusi platform baharu CMF-B yang turut dikongsi bersama Renault Captur dan Clio.
Crossover Nissan baharu ini akan dijual pada harga £17,395 (RM88,890) untuk varian 1.0 DIG-T 117 Visia dan £25,395 (RM129,770) untuk varian paling premium 1.0 DIG-T 117 DCT Premiere Edition.
BACA >>> Nissan Juke (2020) Baharu Akan Didedahkan Bulan Depan!
Dimensi crossover ini memiliki panjang 4,210mm, tinggi 1,595mm dan lebar 1,800mm, manakala berat dikurangkan sebanyak 23kg berbanding model terdahulu.
Rupa baharu kali ini juga nampak lebih atletik dengan sudut badan lebih harmoni, rekabentuk bumbung terapung dan garis badan maskulin. Juga diberikan perincian seperti gril V-motion yang lebih berkarakter dan lampu utama LED penuh, termasuk lampu belakang.
BACA >>> Nissan Perkenal 370Z NISMO dan Juke NISMO di Filipina yang Bukan Kosmetik Sahaja
Juke (2020) masih mengekalkan lampu utama bulat dengan rekaan signatur bentuk Y dan lampu siang (DRL) LED horizontal slik di atasnya, manakala di belakang ialah lampu bentuk bumerang yang disusun melintang.
Ada warna badan eksklusif diperkenalkan, iaitu Fuji Sunset yang ditambah menjadi 11 pilihan warna. Nissan turut menawarkan pilihan personalisasi untuk gaya luaran menerusi bampar kustom, sil pintu dan rim aloi 19 inci.
Rekabentuk dalaman juga berubah radikal. Menurut Nissan, ruang lutut ditingkatkan 58mm, ruang kepala 11mm dan kapasiti but kini 20 peratus lebih luas, iaitu 422 liter. Rekabentuk dalaman turut mengalami banyak perubahan dengan mengadaptasi sunsun atur papan pemuka baharu dengan paparan tengah apung, dan roda stereng multifungsi, manakala punat konsol tengah dikurangkan untuk gaya lebih minimalis.
Sistem infotainment NissanConnect menawarkan paparan skrin sentuh 8 inci dengan Apple CarPlay, Android Auto dan Google Assistant. Sistem bunyi dipadukan dengan 8 pembesar suara Bose Personal Plus untuk kualiti bunyi mengasyikkan.
Selain menambah baik posisi memandu, Nissan turut menggunakan material sentuh-lembut untuk papan pemuka, trim pintu dan panel kaki bagi memberikan lebih kesan premium pada crossover ini.
BACA >>> Nissan Kicks (2019), Model Termurah Menang Anugerah Interior Terbaik WardsAuto 2019
Juke (2020) didatangkan standard dengan kerusi depan sport, dan pilihan upholsteri kulit dan Alcantara. Opsyen personalisasi kabin pula terdiri daripada pelbagai kombinasi untuk padanan upholsteri atau warna badan dan bumbung.
Walaupun didefinisikan sebagai crossover sport, tetapi trenkuasa yang memacu Juke (2020) cuma enjin petrol 3-silinder 1.0L pengecas turbo DIG-T berkuasa 115hp. Walaupun mungkin nampak biasa sahaja, tetapi Nissan mendakwa prestasi diberikan cukup untuk menambah baik prestasi, ekonomi bahan api dan kelancaran pemanduan.
Dipadankan bersama enjin ialah transmisi manual 6-kelajuan dan automatik dual-klac (DCT) 7-kelajuan dengan pedal syif dan mod pemanduan.
Ciri casis baharu yang dibina berasaskan keluli tegangan-tinggi menawarkan kestabilan, prestasi dan kemampuan membelok yang lebih baik.
Aspek keselamatan pula dilengkapkan dengan teknologi Nissan Intelligent Mobility, terdiri daripada Brek Kecemasan Pintar (IEB) dengan Pengecaman Pejalan Kaki dan Penunggang Sikal , Pengecaman Tanda Jalan (TSR), Intervensi Lorong Pintar (ILI), Amaran Trafik Lintas Belakang (RCTA) dan Intervensi Titik Buta (BSI).
Juke (2020) dikeluarkan dari killang Nissan di Sunderland, Britain dan proses penghantaran dijadualkan bermula penghujung November ini untuk pasaran Eropah.
Tiada sebarang berita yang model ini akan dibawa masuk wakil poengedar Nissan di Malaysia Edaran Tan Chong Motor (ETCM) untuk pasaran tempatan. Apa dimaklumkan awal tahun ini ialah kemasukan model Kicks, iaitu crossover subkompak yang bakal bersaing dengan Honda HR-V dan Toyota C-HR.
BACA >>> Nissan GT-R 50th Anniversary - Sempena Ulangtahun Separuh Abad yang Kekal Relevan
Leave a Reply