SEBELUM ini PanduLaju pernah memaparkan mengenai Volkswagen ID.7 Pro S yang dipandu sejauh 794 kilometer (km) dengan sekali cas.
Nampaknya sekali lagi ID.7 Pro S buat hal dengan jarak pemanduan 941 km berbekalkan satu cas bateri.
Rekod ini dibuat di litar di Nardò, Itali menggunakan ID.7 Pro S dengan pakej teknologi standard yang berkuasa 210 kW (286 ps) dan bateri 86 kWj (bersih).
Jarak yang dibuat mengatasi angka rasmi 709 km (kombinasi WLTP) atau pertambahan 232 km (32.7%).
Di dalam misi ini, kadar penggunaan tenaga purata adalah 9.2 kWj/100 km. Jika disetarakan dengan diesel, purata penggunaan hanya seliter per 100 km.
Matlamat utama ujian di Nardò adalah untuk menentukan kecekapan maksimum yang boleh dicapai ID.7 Pro S.
Sesi pengujian dibuat pada Disember 2024 oleh pemandu profesional Volkswagen Driving Experience di Low Speed Ring pada suhu lima sehingga 15 darjah Celsius.
Litar dengan jarak 12.5 km membolehkan pengujian pelbagai jenis keadaan lalu lintas dan endurans dibuat secara berkesan.
Purata kelajuan semasa ujian kecekapan adalah 29 km/j dan sebelum dipersoalkan, kelajuan ini setara waktu puncak tipikal di bandar-bandar besar.
Mengikut Indeks Lalu Lintas dari TomTom, julat kelajuan di antara 22 km/j (Hamburg) sehingga 31 km/j (Amsterdam).
Dari segi spesifikasi, kereta yang digunakan tidak menjalani sebarang ubah suai dan dikeluarkan dari kilang elektromobiliti di Emden, Jerman.
Asas kepada kecekapan luar biasa ID.7 Pro S adalah dari ciri-ciri aerodinamik yang kuat dan sistem pemanduan canggih. Kadar pekali seretan hanya 0.23 Cd (bergantung kepada perkakasan).
Motor APP550 ekonomikal dan berkuasa. Motor pacuan elektrik yang diintegrasikan pada gandar belakang menghasilkan 545Nm dan membantu pecutan ID.7 Pro S dari 0 sehingga 100 km/j dalam masa 6.6 saat.
Pada masa yang sama kadar penggunaan tenaga di antara 16.2 dan 13.6 kWj/100 km (kitaran WLTP).
Tempoh pengecasan juga bagus dan hanya memerlukan 10 minit untuk mendapatkan tambahan jarak 244 kilometer (pengecas DC, kapasiti sehingga 200 kW).
Berbekalkan kapasiti pengecasan penuh, penambahan tenaga dari 10 sehingga 80 peratus mengambil masa kira-kira 26 minit.
Volkswagen ID.7 Pro S 2024:
Leave a Reply