SUZUKI Malaysia melengkapkan tawaran barisan motosikal V-Strom dengan ketibaan model adventure iaitu V-Strom 250SX edisi 2024 pada minggu pertama Ogos lalu.
Suzuki V-Strom 250SX adalah varian paling kecil dalam keluarganya, ditawarkan pada harga permulaan serendah RM17,800 yang tidak termasuk insuran, cukai jalan dan pendaftaran.
Suzuki Malaysia menyediakan satu unit V-Strom 250SX untuk sesi pandu uji kali ini, diberikan tempoh empat hari dan ini adalah apa yang saya sempat pelajari tentang motosikal adventure itu.
- Suzuki V-Strom 250 SX lebih sesuai digunakan sebagai mod pengangkutan harian di kawasan bandar, tiada kesukaran mengendali motosikal adventure itu mengharungi situasi trafik sesak di ibu kota. Mungkin pilihan terbaik untuk mereka yang perlu ulang-alik jarak jauh ke kerja dan rumah.
- Perlu menarik tuil klac tangan sebelum menekan butang pemula untuk menghidupkan enjin. Tekan sekali enjin sudah hidup, tidak perlu menekan lama butang pemula.
- Rasa seperti menunggang sebuah kapcai disebabkan pengemudian tetapi perlu sedikit usaha mengawal operasi klac.
- Kemasukan gear terasa sedikit berat kerana model itu tidak dilengkapi ciri klac slipper. Tiada mod pemetaan enjin disediakan. Satu hakikat perlu diterima, ini adalah model asas dalam siri V-Strom.
- Nampak macam tinggi tetapi sebenarnya 250 SX tidak mendatangkan kesukaran untuk mengimbangi motosikal semasa berhenti di lampu isyarat merah atau di celah barisan kenderaan. Berat motosikal cuma 167kg
- Paparan meter digital serba lengkap termasuk ada indikator status baki petrol dalam tangki minyak. Ada soket USB Type A disediakan di sebelah kiri meter beserta penutup.
- Kecekapan sistem brek tidak menghampakan apabila diperlukan dan mampu memberhentikan motosikal dengan selamat dengan adanya ciri tambahan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dwi-saluran.
- Ada kowl enjin, gard tangan, rak kotak simpanan dan visor angin didatangkan sebagai komponen standard untuk model V-Strom 250 SX. Tidak perlu keluar belanja tambahan melainkan mahu menaik taraf aksesori sedia ada.
- Fork depan walaupun jenis teleskopik konvensional dan tidak boleh laras tetapi komponen itu menggalas tugas baik sepanjang tunggangan, selain dibantu penyerap hentak tunggal di belakang.
- Menunggang dari Kuala Lumpur ke Melaka, saya tertarik dengan tayar MRF Mogrip Meteor M kerana menawarkan cengkaman baik dan tidak terasa membuang walaupun meredah cuaca hujan lebat sepanjang perjalanan semasa balik semula ke ibu kota.
- Getaran komponen badan atau bar hendal 250 SX tidak banyak dirasai walaupun motosikal itu dipacu enjin jenis silinder tunggal. Peg kaki penunggang berbalut getah dan pelana pula adalah tebal.
- Penggunaan minyak juga dirasai menjimatkan (bergantung pada corak tunggangan). Anggaran jarak dengan satu tangki petrol penuh (12 liter) dianggarkan boleh capai jarak sejauh lebih 450km jika purata penggunaan petrol 2.6 liter untuk setiap 100km.
Leave a Reply