
TOYOTA Motor Corporation menambah varian kenderaan elektrik bateri atau BEV ke dalam barisan model komersial kecil mereka iaitu Pixis Van di Jepun.
Model ini mula dipasarkan pada 2 Februari 2026 dan sebagai langkah mempercepatkan sasaran neutraliti karbon sambil mengekalkan fungsi praktikal sebuah kenderaan kerja.
Satu lagi fakta ialah, Pixis merupakan bukti terbaru Toyota tidak mengabaikan EV dan satu daripada langkah strategi multi-pathway.
Pixis Van BEV direka untuk menyokong keperluan mobiliti harian perniagaan dan golongan profesional.

Walaupun beralih kepada trenkuasa elektrik, ia tetap mengekalkan kelebihan sedia ada seperti ruang kargo yang luas dan kemudahan memuatkan barang.
Kelebihan utama model ini terletak pada prestasi pemanduan yang berkuasa, lancar dan senyap yang menjadi ciri khas kenderaan elektrik.
Pembangunan Bersama dan Peranan Logistik Destinasi Akhir (Last Mile)

Sistem BEV pada model ini merupakan hasil pembangunan bersama antara Suzuki Motor Corporation, Daihatsu Motor Co. Ltd. dan Toyota.
Projek ini menggabungkan kepakaran Suzuki dan Daihatsu dalam menghasilkan kenderaan kecil atau kei car dengan teknologi elektrifikasi milik Toyota.
Selain Toyota Pixis Van, kerjasama ini turut menghasilkan model kembar iaitu Suzuki Every BEV dan Daihatsu Hijet Cargo BEV.
Pixis Van BEV dikeluarkan di kilang Daihatsu Motor Kyushu Co. Ltd. yang terletak di Oita, Nakatsu.

Pengenalan barisan model ini merupakan realisasi kepada laporan yang pernah diterbitkan oleh PanduLaju pada Jun 2023 mengenai kerjasama strategik ketiga-tiga syarikat gergasi ini dalam membangunkan kenderaan komersial elektrik.
Kenderaan komersial kategori ini amat penting di Jepun kerana saiznya yang kompak memudahkan pemanduan di jalan raya yang sempit.
Setakat September 2025, kenderaan komersial kecil merangkumi 60 peratus daripada keseluruhan flit kenderaan komersial di Jepun.
Commercial Japan Partnership Technologies Corporation (CJPT) turut terlibat dalam perancangan spesifikasi bagi memastikan ia optimum untuk kegunaan logistik penghantaran terakhir.
Rangkaian Kuasa dan Prestasi Dinamik

Pixis Van BEV menggunakan sistem e-SMART ELECTRIC yang menawarkan keseimbangan antara tahap kesenyapan dan kestabilan pemanduan.
Penggunaan motor elektrik memastikan getaran yang rendah semasa mula bergerak dan ketika memandu, sekali gus membolehkan komunikasi di dalam kabin lebih jelas.
Unit eAxle yang menyepadukan motor, inverter dan gear pengurangan (reduction gear) dipasang pada roda belakang.
Tetapan ini memberikan cengkaman yang kuat walaupun membawa beban berat atau ketika melalui kawasan bandar yang berbukit dan kerap berhenti.

Bateri diletakkan di bawah lantai untuk merendahkan pusat graviti, manakala ketegaran badan kenderaan ditingkatkan melalui penambahan anggota silang atau crossmembers.
Sistem suspensi belakang menggunakan jenis rigid-axle trailing-link rekaan baharu untuk mengurangkan berat tidak berpegas dan meningkatkan prestasi mengikut permukaan jalan.
Jarak Gerak dan Kecekapan Pengecasan

Model ini menawarkan jarak gerak sejauh 257 km untuk satu pengecasan penuh berdasarkan kitaran WLTC, iaitu jarak paling jauh dalam kategori van komersial kecil setakat Februari 2026.
Ia dilengkapi dengan port pengecasan pantas sebagai ciri standard yang membolehkan bateri dicas sehingga 80 peratus dalam masa sekitar 50 minit.
Untuk pengecasan normal dengan output 6 kWj, ia mengambil masa kira-kira 6 jam untuk cas penuh.
Fungsi Bekalan Kuasa Luaran Dan Keselamatan

Sebagai sebuah BEV, Pixis Van dilengkapi fungsi bekalan kuasa luaran maksimum 1,500 W menerusi soket aksesori di bawah panel instrumen.
Ini membolehkan penggunaan alatan elektrik berkuasa tinggi atau pengecasan peranti dilakukan semasa kenderaan sedang bergerak atau berhenti.
Ia juga menyokong sistem Vehicle to Home atau V2H yang membolehkan tenaga elektrik daripada bateri kenderaan disalurkan semula ke rumah semasa waktu kecemasan atau terputusnya bekalan elektrik.
Dari aspek keselamatan, ia dilengkapi sistem Smart Assist terkini yang merangkumi fungsi amaran pelanggaran dan sokongan brek bagi mengesan kenderaan atau pejalan kaki semasa membelok di persimpangan.
Praktikaliti Ruang Kargo dan Pilihan Pakej

Ruang kargo model BEV ini adalah setara dengan model petrol dengan kapasiti beban maksimum 350 kg.
Ia menawarkan ruang lantai yang rendah iaitu 630 mm untuk memudahkan urusan pemunggahan barang.
Di bahagian kabin, ia dilengkapi pemanas tempat duduk yang cekap tenaga, penghawa dingin automatik, meter pelbagai maklumat aktif, serta soket USB.
Terdapat dua pakej pilihan tambahan:
-
Pakej Labor-saving (77,000 yen/RM 1,959.65): Merangkumi sistem kemasukan tanpa kunci, cermin sisi berwarna badan jenis lipat elektrik, mekanisme penutup mudah untuk pintu gelongsor dua sisi dan fungsi buka kunci pintu aluan (welcome door).
-
Pakej Bantuan Penglihatan (66,000 yen /RM 1,679.70): Merangkumi cermin pandang belakang pintar dan monitor belakang.
Spesifikasi Teknikal dan Harga Toyota Pixis Van BEV
- Kapasiti Penumpang: 4 orang
- Sistem Pacuan: 2WD pacuan roda belakang
- Jenis Motor: 1CG AC Synchronous
- Output Maksimum: 47 kW (63.03 hp)
- Tork Puncak: 126 Nm
- Jenis Bateri: Litium-ion
- Kapasiti Bateri: 36.6 kWj
- Jarak Gerak: 257 km (WLTC)
- Kapasiti Beban Maksimum: 350 kg
- Panjang Kargo: 1,920 mm
- Lebar Kargo: 1,270 mm
- Tinggi Kargo: 1,250 mm
- Tinggi Lantai Kargo: 630 mm
- Kilang Pengeluaran: Daihatsu Motor Kyushu Co. Ltd. (Kilang Oita Nakatsu)
- Sasaran Jualan: 50 unit sebulan
- Harga Jualan Jepun: 3,146,000 yen (RM80,065.70)























