SECARA umum, kita sebagai manusia tidak pernah dilahirkan sempurna kerana masing-masing mempunyai kelemahan dan kekurangan yang tersendiri, namun berbeza dengan kehidupan di atas jalan raya sekiranya kita memandu kereta sedan yang baru dilancarkan pada awal tahun ini iaitu Mercedes-Benz C350e.
Mungkin perumpamaan ini agak keterlaluan tetapi itulah hakikat yang boleh digambarkan selepas saya sendiri berpeluang untuk menggunakan sedan plug-in-hibrid daripada Mercedes-Benz itu selama dua hari bermula pada Jumaat lalu.
Untuk pengalaman pemanduan kali ini, saya akan menceritakan bagaimana perjalanan dua hari satu malam saya bersama dengan kereta ini dari Kuala Lumpur menuju ke ibu negeri Pahang, Kuantan.
Jarak pemanduan dianggarkan sejauh 267km bersamaan dengan 3 jam tempoh perjalanan merentasi pelbagai jalan seperti lebuhraya, jalan tidak rata, dan jalan raya kawasan bandar serta perkampungan di Kuantan. Malah pemanduan kali ini juga meliputi pemanduan pada waktu siang dan malam termasuk ketika menghadapi musim hujan.
Sebelum saya menjelaskan secara terperinci, kesemua penulisan ini adalah pendapat peribadi sepenuhnya berdasarkan pengalaman yang telah diperoleh sepanjang sesi pandu uji tersebut.
Pemanduan di Lebuhraya
Tidak boleh dinafikan Mercedes-Benz C350e yang menggunakan enjin petrol 4-sebaris 2.0L turbo ini mampu menghasilkan kuasa yang sangat mencukupi ditambah dengan bunyi ekzos yang syahdu membuatkan ia sangat seronok dipandu atas lebuhraya.
Secara tak langsung, apabila kereta ini mencapai kelajuan 120kmj sehingga 140kmj pada jalan yang lurus, saya merasa seolah-olah memandu pada kadar kelajuan 80kmj sehingga 90kmj sahaja. Maksudnya, saya tidak perasaan bahawa meter berada pada kelajuan tersebut kerana perasaan saya seakan memandu pada kelajuan dibawah 100kmj. Boleh kata lupa diri juga sebenarnya.
Darisegi pikap, walaupun kaki saya menekan pedal sedikit atau setengah sahaja, output kuasa yang dihasilkan sangat memuaskan, jadi tidak hairan kemampuan 0-100kmj kereta ini hanya mengambil masa 6.1 saat jika tekan pedal sepenuhnya. Nasihat saya, hati-hati kalau dah tertekan pedal penuh sebab risau kuat cucuk kereta belakang pula nanti.
Bila cakap tentang handling dan stereng pula, sumpah kereta ni memang terbaik. Sebab apa? saya yang jarang pandu jauh ni pun sangat yakin bila lalu selekoh tajam di lorong kanan kawasan bentong. Malah, bila pandu satu tangan juga, stereng (kulit Nappa) tidak terlalu sensitif dan tidak mudah terpusing. Namun sekiranya tapak tangan yang jenis cepat berpeluh, mungkin boleh elakkan memandu satu tangan kerana stereng boleh dikatakan agak licin kalau basah.
Kerusi kulit dengan fungsi memori juga menjadi salah satu faktor pemanduan lebih selesa sebab ia boleh dilaras daripada bahagian kepala, belakang, sehingga bawah peha. Jadi kalau rasa mengantuk ketika memandu, tolonglah berhenti berehat sebab risau kena deep sleep dan bukan setakat microsleep.
Pemanduan di Jalan Tidak Rata
Bagi jalan tidak rata ini saya pecahkan kepada tiga situasi iaitu ketika melalui jalan berlopak atau berlubang, jalan berbatu, dan jalan yang berbonggol.
- Jalan berlubang atau berlopak: Ketika terlanggar lubang jalan, semestinya perasaan takut akan menyelubungi diri kerana risau tayar bocor, bampar calar, dan hilang kawalan kenderaan. Namun ajaibnya, semua itu tidak berlaku selepas saya memeriksa keadaan kereta. Ini membuktikan walaupun luaran kereta ini kelihatan rendah namun ketinggian tayar dengan badan kereta masih lagi sesuai dengan permukaan jalan di Malaysia. Untuk maklumat ketinggian kereta ini adalah 1437mm dan menggunakan tayar Michelin 225/45 dengan saiz rim 18 inci.
- Jalan berbatu: Permukaan jalan ini pula menjadikan saya pemandu berhemah kerana keadaan pemandu akan menjadi sedikit bergoyang dan menghasilkan bunyi yang bising apabila permukaan tayar bergesel dengan batu-batu kecil itu.
- Jalan berbonggol: Ketika melalui bonggol tinggi, saya dapat mendengar bunyi suspensi belakang yang sedikit kuat, namun apabila melalui bonggol biasa dan tidak terlalu tinggi, ia sangat lancar dan tidak menghasilkan sebarang bunyi.
Pemanduan Kawasan Bandar dan Kampung
Perkara paling jelas yang saya lihat ketika melalui kawasan ini adalah darisegi penggunaan minyak. Sepanjang berada di Kuantan, minyak bar turun sama seperti pejalanan pergi iaitu sebanyak satu bar daripada empat bar (minyak penuh). Berikut perinciannya:
- 1/4 Bar Perjalanan Pergi: 267km (anggaran)
- 1/4 Bar Sepanjang di Kuantan: bawah 100km
Perkara kedua pula adalah darisegi saiz kenderaan ketika melalui jalan sempit atau lorong sehala. Dengan lebar 1820mm ketika berada di lampu trafik, ia menyukarkan penunggang motosikal untuk menyelit di antara kenderaan, manakala ketika melalui jalan sehala, saya terpaksa keluar daripada garisan jalan untuk memudahkan kereta dari arah bertentangan melalui jalan yang sama. Dengan lebar dan panjang pada bahagian bonet hadapan juga membuatkan saya terpaksa mengambil sedikit side untuk membuat pusingan u.
Bagaimanapun, masalah ini boleh dihadapi dengan adanya bantuan kamera pandang keliling 360º yang sangat tepat untuk melihat bahagian titik buta kereta.
Pemanduan Waktu Malam
Bercakap tentang pemanduan waktu malam pula, saya nak tekankan tentang lampu yang ada pada kereta ini. Dengan adanya lampu ambien yang menghiasi interior ditambah Sistem Audio Burmester 3D yang memainkan lagu R&B atau Pop menjadikan suasana pemanduan lebih meriah, seolah-olah berada dalam disko.
Paparan skrin sesentuh 11.9 inci dengan konektiviti Apple Carplay juga sangat lancar walaupun menggunakan pelbagai aplikasi dalam waktu sama. Namun berbeza dengan pemanduan pada waktu siang, paparan skrin menjadi sedikit panas berkemungkinan disebabkan cahaya matahari.
Lampu hadapan kereta juga mempunyai visual bergerak ketika enjin dihidupkan, manakala ketika keluar daripada kereta pula terdapat lampu projektor yang memancarkan logo Mercedes-Benz di luar pintu pemandu dan penumpang hadapan. Fuh terasa betul-betul premium terutama bila parking di kawasan yang sangat gelap.
Pemanduan Ketika Cuaca Hujan
Memandangkan sekarang musim hujan yang tidak menentu, jadi ada beberapa perkara yang saya puji terhadap kereta ini ketika memandu meredah hujan.
- Pertama sekali adalah wiper, kereta ini mempunyai wiper yang sangat panjang sehingga mampu mengelap hampir seluruh cermin hadapan. Saya juga menggunakan automatik wiper yang boleh mengesan rintik hujan yang berada pada cermin hadapan, maksudnya semakin banyak rintik hujan di cermin, maka wiper juga akan bergerak lebih laju.
- Kedua adalah sensor yang ada pada cermin sisi kenderaan. Penglihatan kita sewaktu hujan sememangnya akan berkurang, namun sensor tersebut membantu meningkatkan kenyakinan kita terutamanya apabila ingin memotong kenderaan. Sensor tersebut akan menyala menunjukkan ada kereta di bahagian titik buta, dan ia berkelip serta mengeluarkan bunyi amaran apabila keadaan untuk memotong adalah tidak selamat.
- Ketiga, sensor pada cermin sisi mempunyai persamaan dengan sensor pada panel meter ketika kenderaan mempunyai jarak yang tidak sesuai dengan kenderaan hadapan. Sebagai contoh, saya memandu dibelakang kenderaan lain pada jarak 50 hingga 70 meter dengan kelajuan 90 kmj, apabila kenderaan hadapan berhenti mengejut secara automatik Sistem Pre-Safe akan bertindak balas dengan memperlahankan kenderaan tetapi dalam keadaan yang smooth dan badan saya tetap pegun pada kerusi.
Apa yang saya boleh simpulkan, Mercedes-Benz C350e adalah kereta yang boleh menutupi kekurangan pemanduan anda, terutama untuk mereka yang masih kurang berpengalaman dan berkemahiran mengawal kereta yang agak panjang serta lebar.
Bagaimanapun, kereta ini bagi saya tidak sesuai untuk seseorang yang inginkan pemanduan jimat minyak kerana penggunaan minyak pada jarak perjalanan dekat tidak sejimat penggunaan untuk jarak jauh seperti di atas lebuhraya.
Darisegi keselesaan, keselamatan, hiburan, dan rekabentuk yang dilengkapi AMG Line, bagi saya C350e ini boleh memenuhi semua yang mungkin anda cari cuma poket kena tebal sikit kerana harga kereta ini dijual melebihi RM300,000.
Akhir kata, sepanjang pemanduan di atas jalan, C350e ini masih kena cucuk dengan Bezza dan Myvi.
Leave a Reply