
MITSUBISHI Motors Malaysia (MMM) mencatat satu lagi pencapaian penting apabila Mitsubishi Xforce serba baharu secara rasmi keluar dari barisan pengeluaran besar-besaran di Pekan, Pahang.
Seiring dengan pengeluaran tempatan tersebut, tempahan untuk Mitsubishi Xforce serba baharu akan dibuka dalam minggu yang sama, menandakan fasa seterusnya pengembangan produk Mitsubishi di pasaran Malaysia.
Pelaburan Baharu, Naik Taraf Kilang Pekan
Pengenalan Mitsubishi Xforce serba baharu membuktikan komitmen berterusan MMM terhadap pengembangan rangkaian produk serta keupayaan pembuatan tempatan yang lebih maju.
Bagi menyokong pengeluaran model baharu ini, MMM sudah melaksanakan beberapa penambahbaikan utama di kilang Pekan, termasuk:
- Penubuhan Sub-Assembly Body Shop baharu
- Pemasangan peralatan canggih di bahagian pengecatan, outfitting, dan tester line
- Penambahbaikan menyeluruh untuk memenuhi keperluan pengeluaran Mitsubishi Xforce
Langkah ini memastikan kilang Pekan terus kekal relevan sebagai hab pemasangan utama Mitsubishi di Malaysia.
Piawaian Pembuatan Jepun, Kualiti Global
Pengeluaran Mitsubishi Xforce di Pekan dilaksanakan sepenuhnya mengikut piawaian pengeluaran global Mitsubishi Motors, yang dibangunkan hasil pengalaman puluhan tahun falsafah pembuatan Jepun.
Setiap peringkat pengeluaran – daripada pemasangan badan, proses pengecatan hingga pemeriksaan akhir – dikawal oleh:
- Prosedur kerja berdisiplin
- Kawalan kualiti yang ketat
- Pemeriksaan menyeluruh bagi menjamin kualiti binaan konsisten, ketahanan dan kebolehpercayaan jangka panjang
Kenyataan Rasmi Mitsubishi Motors Malaysia
Mengulas mengenai pencapaian tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Motors Malaysia, Takashi Sakamaki berkata;
Pengeluaran besar-besaran Mitsubishi Xforce serba baharu mencerminkan penerapan falsafah pembuatan Jepun Mitsubishi Motors di kilang Pekan.
Berteraskan ketepatan, disiplin proses dan penambahbaikan berterusan, piawaian ini memastikan setiap Xforce yang dihasilkan di sini memenuhi penanda aras kualiti yang sama seperti kenderaan Mitsubishi yang dikeluarkan di mana-mana sahaja di dunia.”
Beliau menegaskan bahawa keutamaan MMM adalah untuk menyerahkan kenderaan yang memenuhi standard global tertinggi Mitsubishi, sekali gus memberi keyakinan, kebolehpercayaan dan kebanggaan pemilikan kepada pelanggan sejak hari pertama.
Sasaran Penghantaran, Komitmen Jangka Panjang
Mitsubishi Motors Malaysia menyasarkan penghantaran 800 unit pertama Mitsubishi Xforce serba baharu menjelang April 2026, selepas melalui proses pengesahan kualiti dan pemeriksaan kesiapsiagaan pengeluaran secara menyeluruh.
Pelancaran pengeluaran Mitsubishi Xforce dari Pekan sekali gus mengukuhkan komitmen jangka panjang MMM terhadap pembuatan tempatan, selain menyokong visi menghasilkan kenderaan yang menawarkan prestasi pemanduan, kebolehpercayaan dan ketenangan fikiran kepada pelanggan Malaysia.




