KERAJAAN akan memperluaskan penggunaan kod respons pantas (QR) untuk urusan imigresen di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Johor bagi laluan atau pengguna kereta mulai tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, inisiatif ini dibuat susulan kejayaan penggunaan kod QR untuk penumpang bas dan penunggang motosikal yang telah membantu mengurangkan kesesakan di Tambak Johor. Dengan kod QR, urusan Imigresen dapat diselesaikan dalam hanya tiga saat.
Fadillah menambah, proof-of-concept ini akan diperluas kepada laluan kereta untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan di pintu masuk negara. Selain itu, beliau turut menyatakan mesyuarat hari ini bersetuju untuk memperluaskan inisiatif ini ke semua pintu masuk antarabangsa negara sebagai langkah mengatasi kesesakan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pula mengesahkan bahawa penggunaan kod QR di BSI dan KSAB telah berjaya, dengan peningkatan jumlah motosikal yang melepasi pemeriksaan dalam masa yang sama.
Kini, perhatian diberikan kepada kesesakan di laluan kereta dan jawatankuasa akan mencari penyelesaian untuk pintu masuk lain di seluruh negara.
Saifuddin juga menyatakan projek Rapid Transit System (RTS) yang dijadualkan siap menjelang 31 Disember 2026 akan membantu menyuraikan trafik, dengan kapasiti membawa 10,000 hingga 20,000 penumpang setiap jam.
Malah, keperluan untuk menggantikan dan menyelenggara kemudahan lama di pintu masuk turut dibincangkan.
SUMBER: SinarHarian
Leave a Reply