KUDA putih adalah gelaran diberikan buat motosikal kuasa tinggi Honda yang digunakan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Ini pula kuda putih yang dibangunkan Honda Amerika untuk agensipenguat kuasa Amerika Syarikat (AS), iaitu NT1100 Police 2025.
Ini bukan perkara baharu kerana sejak 2005 lagi jalan raya di AS menyaksikan anggota penguat kuasa di sana melakukan tugas rondaan menggunakan Honda ST1300 dan apabila ditamatkan perkhidmatan, pilihan baharu diperlukan.
Model sport touring Honda NT1100 asalnya ditawarkan di Eropah sebagai model 2022 dan dipertingkat untuk 2025. Apa yang spesial tentang model sport touring ini?
- Honda NT1100 Police menggunakan frem dan enjin silinder kembar CRF1100L Africa Twin 1,084cc SOHC sebagai asas dengan transmisi manual 6-kelajuan yang dipadankan bersama sproket 16T/40T.
- Sebagai kenderaan penguat kuasa, Honda NT1100 Police dilengkapi komponen khas seperti kotak sisi, kotak dokumen, pelindung enjin, penutup pelana belakang dan pendawaian untuk penambahan aksesori.
- Barangan lain turut ditawarkan melalui vendor rasmi bagi memenuhi keperluan pihak berkuasa.
- Menggunakan motosikal moden bermakna teknologi juga canggih. Anggota penguat kuasa boleh memanfaatkan pelbagai mod tunggang seperti Urban, Rain, Tour atau User 1 dan User 2 untuk tetapan sendiri.
- Membantu tugasan harian atau aksi mengejar ialah sistem kawalan traksi Honda Selectable Torque Control (HSTC) dan Kawalan Loncatan (Lift Control, LC) selain Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) Belokan dan Kawalan Loncatan Belakang (Rear Lift Control, RLC).
- Fork teleskopik Showa 43mm dengan jarak travel 5.5 inci (depan), dan monoshock Showa dengan jarak travel 5.5 inci dan swingarm Pro-Link (belakang).
- Sistem brek cakera kembar 310mm dengan kaliper 4-piston (depan), dan brek cakera 256mm dengan kaliper piston tunggal (belakang).
Honda NT1100 Police 2025 hanya ditawarkan dalam warna putih dan tersedia pada Mei 2025 pada harga AS$14,499 (RM64,650).
Leave a Reply