KUDA putih gelaran diberi untuk motosikal berkuasa tinggi Honda yang digunakan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ini pula kuda putih yang dibangunkan Honda Amerika khusus untuk badan penguatkuasa Amerika Syarikat (AS) iaitu NT1100 Police.
Bukan baharu, sejak 2005 lagi jalan raya di AS menyaksikan anggota melakukan tugas rondaan menggunakan Honda ST1300 dan apabila ditamatkan, pilihan baharu diperlukan.
Model sport touring NT1100 asalnya ditawarkan di Eropah sebagai model 2022 dan dipertingkatkan untuk tahun 2025.
NT1100 Police menggunakan rangka dan enjin silinder berkembar, SOHC, 1,084 cc CRF1100L Africa Twin sebagai asas. Transmisi manual enam kelajuan dipadan bersama gegancu 16T/40T.
Sebagai kenderaan penguatkuasa, NT1100 Police dilengkapi komponen khusus seperti kotak tepi, kotak dokumen, pelindung enjin, penutup pelana belakang dan pendawaian untuk penambahan aksesori.
Barangan lain turut ditawarkan melalui vendor rasmi bagi memenuhi keperluan pihak berkuasa.
Menggunakan motosikal moden bermakna teknologinya juga canggih. Anggota penguatkuasa boleh memanfaatkan pelbagai mod tunggangan seperti Urban, Rain, Tour atau User 1 dan User 2 untuk tetapan sendiri.
Membantu dalam tugas seharian atau aksi mengejar ialah sistem Honda Selectable Torque Control (HSTC) dan Kawalan Loncatan. Turut membantu ABS Pembelokan dan Kawalan Loncatan Belakang.
Fork teleskopik depan dari Showa dengan 43 mm dan jarak 5.5 inci. Bahagian belakang dengan Pro-Link® dan penyerap hentak tunggal Showa dan jarak 5.5 inci.
Kaliper depan empat piston dan brek cakera berkembar 310 milimeter (mm) dan kaliper satu piston dan cakera 256 mm di belakang membantu sekiranya perlu membrek dengan pantas.
Honda NT1100 Police hanya ditawarkan dalam warna putih dan tersedia pada Mei 2025. Harganya, AS$14,499 (RM64,649).
Leave a Reply