TAMPIL pada 2022 sebagai model 2023, Honda memperkemaskan CB750 Hornet untuk pasaran Jepun.
Model 2025 menggunakan set lampu dan muka depan baharu yang garang ala karakter fiksyen Predator namun kekal berbeza daripada CB1000 Hornet dan SP yang diperkenal pada Disember 2024.
Seperkara, meskipun berada di pasaran Eropah dan tempatan, CB750 Hornet tidak ditawarkan di negara asalnya sehinggalah pengenalan ini atau secara rasmi pada 13 Februari.
Enjin RH24E 754 cc OHC (Unicam) dua silinder sebaris menghasilkan 91 ps pada 9,500 rpm dan 75Nm pada 7,250 rpm.
Enjin ini mempunyai karakteristik kuasa yang mudah dikendalikan dengan aliran tenaga pada julat rendah dan pertengahan seterusnya berkuasa dan mengujakan pada kelajuan tinggi.
Turut dilengkapi klac bantuan Assist & Slipper® bagi mengurangkan beban semasa menarik tuil klac dan menahan loncatan roda belakang semasa menurunkan gear.
Kerangka jenis berlian dipadan bersama sepit udang depan Showa (Hitachi Astemo Ltd.) SFF-BP® (Separate Function Front Fork Big Piston) dan suspensi Pro-Link di belakang.
Kaliper Nissin dipadan bersama cakera depan berkembar saiz 296 milimeter (mm) dan tunggal 240 mm di belakang. Sistem Brek Anti-Kunci membantu tunggangan selamat.
Rekaan rim ringkas dan perhatikan batang yang halus dengan tayar 120/70ZR17M/C dan lebih berisi, 160/60ZR17M/C di belakang.
Seperti model baharu lain, CB750 Hornet menggunakan skrin meter LCD TFT warna penuh saiz lima inci dengan menyediakan pelbagai maklumat dan mudah dibaca.
Honda RoadSync menghubungkan motosikal dengan telefon pintar melalui Bluetooth® dan membolehkan penunggang mendengar muzik atau panggilan telefon menggunakan suis hendal baharu dan input suara.
Sistem Throttle-by-Wire (TBW) menyumbang kepada respon trotel secara langsung dan Mod Tunggangan Standard, Sport dan Rain menyediakan tetapan awal untuk tunggangan manakala User mengikut pilihan penunggang.
Sistem Honda Selectable Torque Control (HSTC) menahan loncatan roda depan dan gelinciran roda belakang.
Satu lagi fungsi praktikal adalah Isyarat Membelok Batal Automatik yang memadamkan operasi lampu isyarat apabila menukar lorong atau selesai membelok kanan dan kirin.
Honda menawarkan dua warna iaitu Digital Silver Metallic dan Matte Ballistic Black Metallic.
Honda CB750 Hornet 2025 dijual pada harga 1,039,500 yen (RM29,522).
Leave a Reply