
HANWAY Malaysia memberi bayangan awal kehadiran model terbaharu mereka, Hanway BOB250, yang dijadualkan dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada akhir Februari ini.
Model berkenaan bakal menggantikan siri Hanway Bobber, susulan kejayaan pelancaran model cruiser 400cc dan 125cc tahun lalu, sekali gus mengukuhkan penawaran jenama itu dalam segmen motosikal bergaya bobber dan cruiser.
Enjin Berkembar 250cc, Sasaran Pasaran Lebih Luas
Hanway BOB250 dikuasakan enjin dua silinder 250cc, direka bagi memenuhi keperluan pasaran yang lebih luas, khususnya penunggang yang menggemari gaya bobber klasik dengan keseimbangan prestasi dan kebolehgunaan harian.
Menurut Hanway Malaysia, model ini menggabungkan:
- Reka bentuk timeless ala bobber
- Pengendalian yang baik
- Ciri moden untuk tunggangan lebih selesa dan yakin
Gabungan ini menjadikan BOB250 sesuai untuk penunggang baharu mahupun mereka yang mahukan cruiser bersesaran sederhana dengan karakter tersendiri.
Harga Kompetitif Bawah RM19,000
Dari segi harga, Hanway BOB250 dijangka ditawarkan pada tanda harga tidak melebihi RM19,000, sekali gus meletakkannya sebagai antara pilihan paling kompetitif dalam segmen bobber 250cc di pasaran tempatan.
Maklumat lanjut termasuk spesifikasi rasmi dan harga muktamad akan diumumkan Hanway Malaysia apabila tarikh pelancaran semakin hampir.
Tambahan Pilihan dalam Segmen Cruiser Malaysia
Kehadiran Hanway BOB250 dijangka merancakkan lagi persaingan dalam segmen motosikal cruiser bersesaran kecil hingga sederhana di Malaysia, dengan penekanan terhadap gaya klasik, harga mampu milik dan kos pemilikan yang lebih mesra pengguna.




