
DUA nama besar dalam industri baik pulih dan perlumbaan, Singer dan Red Bull Advanced Technologies mengumumkan kerjasama untuk meningkatkan kekuatan model Porsche klasik.
Singer terkenal dalam baik pulih model Porsche klasik dengan hasil kerja yang menggagumkan dan menariknya, produk syarikat ini sudah dimiliki rakyat Malaysia.
Kerjasama ini menumpukan kepada pembangunan strategi kejuruteraan untuk meningkatkan kekakuan kilasan (torsional stiffness) bagi model Type 964 Cabriolet dan Targa yang melalui proses baik pulih eksklusif Classic Turbo oleh Singer.
Proses Baik Pulih dan Pembangunan Digital

Proses baik pulih bermula apabila pemilik Porsche 911 generasi 964 menyerahkan kenderaan mereka kepada Singer.
Memandangkan model ikonik ini telah berada di jalan raya selama lebih 30 tahun, setiap unit perlu melalui fasa peleraian yang sangat teliti.
Komponen dalaman, panel badan luaran,dan bahagian mekanikal ditanggalkan sepenuhnya sehingga hanya tinggal struktur monokok keluli atau casis asal.
Casis tersebut kemudiannya dibersihkan dan dinilai secara mendalam. Di sinilah Red Bull Advanced Technologies memainkan peranan penting dengan menggunakan kepakaran simulasi dan analisis struktur bertaraf dunia.

Casis Porsche 964 dimodelkan semula dalam bentuk digital menggunakan data imbasan dan ukuran manual yang tepat.
Pakar jurutera kemudiannya menggunakan perisian Finite Element Analysis (FEA) untuk mengira ketegaran kerangka bagi varian bumbung terbuka dan tertutup.
Model FEA ini diperhalusi sehingga nilai ketegaran yang dijangka sepadan dengan nilai yang direkodkan dalam ujian fizikal.

Inovasi Pengukuhan Gentian Karbon
Setelah model digital tersebut diselaraskan, pasukan jurutera dapat mengenal pasti bahagian mana pada struktur bumbung terbuka yang paling banyak menerima bebanan atau tekanan ketika memandu.
Berdasarkan maklumat ini, sebanyak 13 struktur pengukuhan gentian karbon telah direka khas.
Komponen pengukuhan itu direka secara strategik untuk memastikan struktur asal casis Type 964 tidak terjejas sambil memenuhi keperluan ruang teknikal kenderaan.

13 struktur pengukuhan gentian karbon yang dibangunkan oleh Red Bull Advanced Technologies dilekatkan terus pada rangka monokok 964 semasa proses baik pulih dijalankan.
Hasil daripada penggunaan bahan komposit tersebut, tahap ketegaran keseluruhan rangka kereta meningkat sebanyak 175 peratus.
Peningkatan ketara ini memberikan impak besar terhadap kualiti pengendalian, prestasi brek, serta keselesaan pemanduan secara keseluruhan.
Dengan teknologi ini, pengalaman memandu varian bumbung terbuka kini setanding dengan model bumbung keras atau coupé.

Integrasi Teknologi Perlumbaan Dalam Kereta Jalanan
Menurut Rob Gray, Pengarah Teknikal Red Bull Advanced Technologies, kepakaran mereka yang dibina melalui kejayaan dalam dunia sukan bermotor kini digunakan untuk menyelesaikan cabaran kejuruteraan automotif yang unik.
Matlamat utama adalah untuk memberikan prestasi dinamik setaraf coupé kepada model bumbung terbuka tanpa menambah berat kenderaan secara berlebihan.
Bagi pihak Singer, Mazen Fawaz selaku Ketua Pegawai Strategi menjelaskan bahawa pemilihan Red Bull Advanced Technologies adalah langkah tepat bagi memenuhi jangkaan pelanggan mereka yang sangat teliti.
Penggunaan bahan moden dan kajian struktur yang teliti ini menunjukkan kesungguhan Singer dalam mengekalkan nilai kereta klasik menggunakan teknologi terkini.
Perkhidmatan Classic Turbo oleh Singer mendapat inspirasi daripada model 911 Turbo asal yang dilancarkan pada tahun 1974, di mana pemilik mempunyai kebebasan untuk memilih baik pulih bagi gaya badan coupé, cabriolet, mahupun Targa.










