
AUDI memperkenalkan Q7 generasi ketiga, meneruskan legasi SUV premium yang menjadi antara model penting jenama itu sejak tahun 2005.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Audi, Gernot Döllner, Q7 baharu menggabungkan reka bentuk sporty dan berkuasa dengan kabin yang lebih fleksibel, bahan premium serta pelbagai teknologi terkini untuk kegunaan harian, keluarga dan perjalanan jarak jauh.
Trenkuasa

Pada peringkat pelancaran, Audi menawarkan dua versi enjin diesel 3.0 liter V6 TDI.
- 245ps dan 500Nm
- 299ps dan 630Nm
Kedua dua enjin menggunakan teknologi MHEV Plus yang menggabungkan penjana trenkuasa generasi baharu, motor penghidup alternator tali sawat dan bateri litium ferum fosfat (LFP).
Sistem MHEV Plus menawarkan:

- Tambahan kuasa sehingga 24ps dan tambahan tork sehingga 370Nm
- Pemanduan elektrik separa ketika parkir, pergerakan dan trafik bandar
- Sokongan tambahan ketika memulakan pergerakan dan memotong
Turut digunakan ialah kompresor elektrik yang memastikan tindak balas pendikit lebih pantas serta pecutan pertengahan yang lebih responsif.
Ciri utama sistem tersebut:
- Tekanan rangsangan (boost pressure) sehingga 3.4 bar
- Rev sehingga 90,000 rpm
- Mencapai kelajuan maksimum dalam masa 250 milisaat

Kuasa disalurkan ke semua roda menerusi transmisi automatik Tiptronic lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda quattro kekal dengan diferensial tengah gelinciran terhad baharu.
Audi turut menyatakan bahawa Q7 boleh menggunakan bahan api HVO (Hydrotreated Vegetable Oil) yang dihasilkan daripada minyak masak terpakai dan bahan buangan lain.
Menurut Audi, penggunaan HVO mampu mengurangkan pelepasan CO₂ sehingga 70 hingga 95 peratus berbanding diesel berasaskan petroleum dan boleh digunakan sama ada sebagai campuran atau bahan api sepenuhnya.
Rekabentuk Luar Menonjol

Dari segi penampilan, Q7 baharu membawa adunan imej tegap dan anggun dengan gril Singleframe yang begitu menyerlah, bonet pada kedudukan lebih tinggi, permukaan sisi beralun serta lengkungan roda yang menonjol.
Pillar D yang kini lebih tegak turut membantu menghasilkan profil lebih kemas sambil menambah ruang kepala dan keluasan dalaman.
Secara keseluruhan, berbanding Q7 sebelum ini yang membawa imej bergaris, model baharu tampil dengan evolusi lebih segar, moden dan tegap.
Kabin Lebih Luas dan Fleksibel

Audi menawarkan Q7 baharu dengan konfigurasi lima tempat duduk sebagai standard. Buat pertama kali, pelanggan juga boleh memilih konfigurasi enam tempat duduk menerusi dua kerusi individu pada barisan kedua dan dua tempat duduk pada barisan ketiga.
Pilihan tujuh tempat duduk turut dikekalkan bagi mereka yang memerlukan kapasiti penumpang lebih besar.
Antara ciri utama kabin:
- Semua tempat duduk boleh dilaras secara elektrik, fungsi pengudaraan dan urutan ditawarkan untuk tempat duduk hadapan
- Tempat duduk barisan kedua boleh dilaras ke hadapan dan belakang secara elektrik, lipatan 65:35 serta 35:30:35
- Sistem kemasukan mudah ke barisan ketiga tanpa perlu menanggalkan kerusi kanak kanak
- Ruang untuk sehingga tiga kerusi kanak kanak pada barisan kedua
Bagi meningkatkan praktikaliti, Audi turut memperkenalkan konsol tengah baharu yang lebih besar dengan pelbagai fungsi tambahan.

Kemudahan lain termasuk:
- Dua pad pengecas tanpa wayar Qi2.2 dengan kuasa 25W setiap satu, sistem penyejukan aktif dan fungsi magnetik
- USB-C sehingga 60W di barisan kedua dan 100W di barisan ketiga
- Pemegang minuman bersaiz besar dan pintu belakang berkuasa elektrik dengan fungsi bukaan menggunakan gerakan kaki
Ruang Kargo Besar Untuk Pelbagai Kegunaan

Model lima tempat duduk menawarkan kapasiti ruang kargo sehingga 806 liter dan meningkat kepada 2,075 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.
Bagi model tujuh tempat duduk pula, kapasiti ruang simpanannya ialah:
- 722 liter di belakang barisan kedua
- Sehingga 1,980 liter apabila tempat duduk belakang dilipat
Bumbung Panoramik Dengan Ketelusan Boleh Laras

Q7 baharu turut menampilkan bumbung panoramik besar yang direka semula untuk memberikan suasana kabin lebih terang dan lapang.
Struktur bumbung yang lebih nipis membantu meningkatkan ruang kepala untuk penumpang hadapan dan belakang, manakala sistem baharu membolehkan tahap ketelusan dilaraskan mengikut keperluan.
Ciri utama bumbung panoramik:
- Ketelusan boleh ditukar antara lutsinar dan gelap
- Dibahagikan kepada sembilan segmen
- Menjadi gelap secara automatik ketika kereta diparkir
- Mengingati tetapan terakhir apabila kereta dihidupkan semula
- Menapis lebih 99.5 peratus sinaran UV dan memantulkan sinaran inframerah
- Tidak memerlukan bidai konvensional
Teknologi Pencahayaan Generasi Baharu

Audi memberikan tumpuan besar kepada sistem pencahayaan pada Q7 baharu menerusi penggunaan lampu Digital Matrix LED dan lampu belakang OLED digital generasi ketiga.
Teknologi ini bukan sahaja meningkatkan pencahayaan, malah turut berfungsi sebagai sebahagian daripada sistem keselamatan aktif kenderaan.
Ciri pencahayaan utama:
- Sehingga 8 cahaya digital signatur untuk lampu hadapan dan belakang
- Lampu belakang OLED digital generasi ketiga dengan kesan tiga dimensi
- Lampu komunikasi yang boleh memaparkan amaran kemalangan dan kerosakan kenderaan
- Lampu panduan lorong dan lampu orientasi yang bekerjasama dengan sistem bantuan pemandu
- Pancaran simbol kristal ais pada permukaan jalan apabila risiko jalan licin dikesan
- Lampu penanda pejalan kaki pada waktu malam
- Lampu pancaran berbentuk berlian pada pintu untuk menyambut penumpang dan menerangi laluan masuk

Audi turut memperkenalkan lampu isyarat belok termaju yang memancarkan imej isyarat belok ke atas permukaan jalan pada waktu malam bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya lain termasuk penunggang basikal.
Selain itu, lampu OLED digital boleh memaparkan simbol amaran khas apabila berlaku kemalangan atau kerosakan kenderaan di hadapan.
Jika terdapat kenderaan menghampiri terlalu dekat ketika Q7 berhenti, keseluruhan panel OLED akan menyala bagi memberi amaran kepada pemandu di belakang.
Infotainmen dan Audio Premium

Q7 baharu menggunakan Audi MMI Panoramic Display berasaskan teknologi OLED yang menggabungkan Audi Virtual Cockpit dan skrin sentuh MMI.
Paparan penumpang hadapan turut ditawarkan sebagai kelengkapan standard bersama fungsi privasi dinamik bagi mengelakkan gangguan kepada pemandu.
Paparan hadapan pula memaparkan maklumat penting secara terus dalam medan penglihatan pemandu.

Maklumat yang boleh dipaparkan termasuk:
- Kelajuan, had laju dan arahan navigasi
Audi turut menyediakan Audi Application Store yang membolehkan pelbagai aplikasi digunakan tanpa memerlukan telefon pintar.
Kategori aplikasi yang tersedia termasuk:
- Muzik, Video, Permainan, Navigasi
- Parkir, Pengecasan, Produktiviti, Cuaca, Berita
Sistem Audi Assistant menggunakan teknologi pembelajaran kendiri dan mampu mengendalikan pelbagai fungsi kenderaan menerusi arahan suara.
Sekiranya sistem tidak dapat menjawab pertanyaan umum pengguna, soalan tersebut akan dihantar kepada ChatGPT.
Untuk audio, Audi menawarkan sistem Bang & Olufsen Premium Sound System dengan teknologi 4D Sound.
Sistem Bantuan Pemandu

Q7 baharu dilengkapi pelbagai teknologi bantuan pemandu dan keselamatan aktif terkini.
Sistem bantuan pemandu merangkumi:
- Adaptive Driving Assistant Plus, brek kecemasan automatik, pengesanan pejalan kaki dan penunggang basikal
- Pemantauan titik buta, amaran trafik lintang belakang dan kamera 360 darjah
- Bantuan parkir automatik, bantuan mengundur treler, kawalan kestabilan treler dan kawalan brek treler bersepadu
- Amaran keluar kereta, amaran keluar lorong dan bantuan kecemasan
Fungsi Trained Parking membolehkan sistem menghafal sehingga lima manuver parkir dengan panjang maksimum 200 meter bagi setiap laluan.

Reverse Assist pula boleh menghafal laluan sepanjang 50 meter dan mengundurkan kenderaan secara automatik pada kelajuan sehingga 10km/j.
Sementara itu, bantuan kecemasan mampu mengambil alih kawalan kereta sekiranya pemandu tidak memberikan sebarang tindak balas.
Sistem akan memperlahankan kereta, mengaktifkan lampu kecemasan dan membawa Q7 ke bahu jalan sebelum memberhentikannya dengan selamat jika keadaan mengizinkan.
Suspensi dan Pengendalian

Secara standard, Q7 baharu menggunakan suspensi spring, manakala pelanggan boleh memilih suspensi udara adaptif atau suspensi udara adaptif sport dengan kawalan redaman elektronik.
Pilihan casis dan pengendalian termasuk:
- Suspensi udara adaptif
- Suspensi udara adaptif sport
- Sistem stereng semua roda
- Diferensial tengah gelinciran terhad baharu
Sistem suspensi udara adaptif turut menawarkan fungsi keluar kenderaan yang merendahkan badan SUV ini sebanyak 62 mm bagi memudahkan penumpang masuk dan keluar.
Audi turut menawarkan rim sehingga 23 inci, yang merupakan kali pertama saiz tersebut ditawarkan terus dari kilang.
Pengeluaran dan Harga

Audi Q7 baharu dikeluarakan di Bratislava, Slovakia dan akan mula dipasarkan di Jerman mulai Jun 2026 dengan penghantaran pertama bermula pada September.
Harga bermula daripada €87,900 (RM412,866) untuk versi 245ps, manakala varian 299ps ditawarkan pada €90,500 (RM425,079).




























































