KALI pertama melihat Toyota Innova Zenix baharu mengingatkan kepada bahagian sisi Toyota Sienna dan Highlander pasaran Amerika Syarikat (AS).
Sienna berada dalam segmen minivan dan sebaris dengan Honda Odyssey (versi AS), Kia Carnival dan pelbagai lagi yang setara.
Sienna generasi keempat diperkenal pada 2020 dan rupa depan mengambil ilham kereta api laju Jepun, Shinkansen.
Beberapa tahun di pasaran, Toyota memperkenal Sienna 2025 dan dilengkapi Peringatan Kerusi Belakang Termaju (Advanced Rear Seat Reminder) pada semua varian.
Model 2021 sudah dilengkapi Pengingatan Kerusi Belakang (RSR) dan kali ini lebih canggih dengan memanfaatkan sistem radar berbanding mesej pada paparan meter.
Ciri-ciri Peringatan Kerusi Belakang Termaju:
- Dilengkapi buat kali pertama pada kenderaan Toyota.
- Menggunakan radar gelombang milimeter yang direka bagi mengesan pergerakan di dalam kereta dan menghantar amaran untuk memaklumkan pemandu atau pengguna aplikasi Toyota melalui siri amaran berperingkat.
- Menggunakan sensor radar jalur 60GHz yang dipasang pada pelapik bumbung dan mengimbas ruang untuk mengesan pergerakan di kerusi baris kedua dan ketiga.
- Sekiranya pergerakan dikesan di ruang imbasan selepas enjin dimatikan - pintu pemandu dibuka dan ditutup - kereta dikunci, sistem akan menghidupkan lampu kecemasan dan mengeluarkan bunyi kunci pintu.
- Selepas 90 saat amaran awal dikeluarkan dan sekiranya sistem masih mengesan pergerakan, bunyi hon akan dihidupkan dan sebahagian daripada amaran berperingkat.
- Untuk pemandu yang mendaftar Safety Connect dan memilih makluman Advanced Rear Seat Reminder melalui aplikasi, kenderaan akan menghantar pemberitahuan semerta (push notification) selepas empat minit amaran berperingkat diaktifkan selain pesanan ringkas (SMS) kepada nombor telefon yang disimpan di dalam akaun pengguna.
- Selepas dua minit, nombor yang disimpan akan menerima panggilan telefon automatik.
- Sekiranya kereta ditinggalkan tanpa dikunci, pemandu tidak akan menerima amaran lampu kecemasan, bunyi kunci pintu dan hon. Sebaliknya, protokol pemberitahuan semerta dan SMS akan diaktifkan untuk pemandu yang yang mendaftar Safety Connect dan memilih makluman Advanced Rear Seat Reminder melalui aplikasi.
Sistem Peringatan Kerusi Belakang Termaju telah dipertonton pada 2022 dan berbeza daripada sistem ultrasonik.
Sebagai contoh, Sistem Peringatan Kerusi Belakang Termaju mempunyai resolusi lebih tinggi dalam pengesanan pergerakan dan boleh mengesan walaupun terlindung sebagai contoh di bawah selimut.
Sistem baharu ini juga dapat mengesan penumpang di dalam keadaan cahaya rendah berbanding sistem pengawasan dalaman berasaskan kamera.
Satu lagi yang menarik, sistem ini lahir daripada pertandingan teknologi dalaman oleh Toyota Motor North America.
Dari situ, Advanced Rear Seat Reminder berkembang menjadi sebuah program yang menerima sokongan pembangunan dari sejumlah syarikat perisian, perkakasan, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan pembekal di dalam dan luar Toyota dari dalam dan luar negara.
Di antara yang terlibat ialah Toyota Connected North America (TCNA), TMNA Connected Technologies, Toyota Motor Engineering & Manufacturing North America (TEMA) dan Toyota Motor Corporation.
Program pembangunannya turut menghasilkan lebih 40 permohonan paten dan sejumlah daripadanya sudah diluluskan.
Sienna digerakkan enjin hibrid 2.5 liter THS-II dengan padanan kotak gear ECVT dan pilihan pacuan roda depan (FWD) atau semua roda (AWD). Keseluruhan sistem menghasilkan 245 kuasa kuda (hp).
Harga bermula daripada AS$39,185 (RM166,509) untuk varian Sienna LE FWD.
Leave a Reply