Black Edition sudah menjadi ikutan pengeluar kereta sekarang ini tidak kira jenama kebanyakan atau mewah.
Ini pula tawaran terbaru dari Kia United Kingdom (UK). Bukan Black Edition tetapi model edisi istimewa Shadow untuk tiga model sekaligus iaitu Picanto, Stonic dan Sportage.
Jika Black Edition menggunakan perkakasan dan riasan gelap, Shadow dari Kia pula tampil dengan warna dalaman dan cat premium yang eksklusif.
Shadow bukan baru 'timbul' dan sudah digunakan Kia sejak beberapa tahun lalu. Shadow 2024 diasaskan dari varian 3 setiap model yang sudah dilengkapi pelbagai perkakasan standard.
Picanto Shadow
Picanto generasi ketiga lama di pasaran dan dikeluarkan sejak 2017. Walaupun lama, Kia memberi nafas baharu pada Julai 2023 dengan rupa depan dan belakang yang menyegarkan ibarat sebuah model baharu.
Picanto juga popular dan 2024 merupakan ulang tahun ke-20 di UK dan pada Ogos 2023 berjaya melepasi angka jualan 250,000 unit.
Picanto Shadow digerakkan enjin 1.2 liter berkuasa 77 bhp dan pilihan kotak gear manual atau Automated Manual (AMT).
Dengan tambahan GBP£500 (RM2,997) berbanding Picanto 3, pelanggan dapat bergaya dengan pilihan warna premium Adventurous Green, Astro Grey atau Midnight Black.
Harga yang ditawarkan ialah GBP£18,045 (RM108,195) bagi manual dan GBP£18,745 (RM112,383) untuk AMT.
Stonic Shadow
Stonic nama yang asing di dalam negara tetapi tidak di Eropah dan pasaran lain seperti China (KX1) dan Pakistan.
Stonic juga dikeluarkan sejak 2017 dan model istimewa terakhir diperkenal di UK pada 2022. Dibandingkan varian 3, Stonic Shadow dilengkapi rim aloi 17 inci warna kelabu yang khusus untuknya.
Pilihan warna badan seperti Midnight Black, Astro Green dan Smokey Blue yang baru untuk Stonic.
Bahagian dalam dihiasi sulaman biru pada kerusi dan stereng dan riasan biru pada konsol tengah.
Enjin 1.0 liter mild hybrid menghasilkan 98 bhp dan pengguna ditawarkan versi manual pada harga GBP£22,995 (RM137,885) dan GBP£23,995 (RM143,881) untuk cekam berkembar (DCT).
Sportage Shadow
Sportage bukan nama asing di kalangan pengguna tempatan kecuali generasi kelima yang dikeluarkan sejak 2021.
Pengguna di UK menggemari Sportage sehingga menduduki tempat ketiga kereta terlaris pada suku pertama tahun ini.
Satu lagi fakta, Sportage bukan sahaja digemari di UK tetapi juga model Kia paling popular di Eropah dan peringkat antarabangsa.
Reka bentuk Sportage memang unik dengan lampu depan tersendiri. Sportage mempunyai dua saiz iaitu jarak roda pendek (SWB) untuk Eropah dan panjang (LWB) buat pelanggan di Amerika Utara dan beberapa lagi negara.
Khusus untuk model 1.6 liter hibrid, Sportage Shadow nampak eksklusif dengan kemasan krom gelap pada bampar depan dan belakang dan pendakap badan sisi.
Trim tingkap dan spoiler dibuat dalam warna hitam kilat dan pelanggan ditawarkan warna badan Experience Green, Phantom Black dan Wolf Grey yang khusus untuk Shadow.
Bahagian dalam menggunakan pek Midnight Green baharu. Harga yang ditawarkan ialah GBP£36,485 (RM219,224) dan menariknya sama seperti Sportage 3 hibrid.
Leave a Reply